Suami maut tersepit, isteri tercampak lori jatuh gaung

22 Feb 2025 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut akibat tersepit, manakala isterinya tercampak keluar selepas lori lima tan dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung. FOTO JBPM

image is not available
Operasi menyelamat mangsa melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dengan dibantu oleh empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan Guchil.

image is not available
Pemandu lori berusia 48 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

KUALA KRAI - Seorang lelaki maut tersepit, manakala isterinya tercampak keluar apabila lori lima tan yang dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Kampung Bukit Akil, Jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, pemandu lori yang berusia 48 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

**media[3018460]**

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan 1, Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.21 pagi.

"Kami tiba di lokasi pada jam 11.36 pagi dan mendapati sebuah lori lima tan terbabas jatuh ke dalam gaung. Terdapat seorang lelaki yang tersepit dan seorang perempuan tercampak keluar dari lori," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, operasi menyelamat mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan Rescue Power Unit.

**media[3018458]**

Ujarnya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala isterinya yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk mendapatkan rawatan.

"Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dengan dibantu oleh empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan Guchil," katanya.