
PELAWAK Shuib dan isteri, Watie Hanafiah berkongsi khabar duka anak mereka, Akira Juwita Zahra dimasukkan ke wad susulan jaundis dan kencing kotor.
Si kecil yang dilahirkan 6 Januari lalu kini menerima pemantauan lanjut di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 42, mendedahkan langkah berkenaan diambil selepas Akira menunjukkan ciri jaundis dan kencing kotor.
"Betul Akira kena tahan di hospital tetapi tiada apa pun. Cuma kuning (jaundis) dia masih ada sikit dan perlu diberi antibiotik.

"Lepas tu (ada) kencing kotor sikit tapi doktor cakap ia hanya perkara normal," katanya ketika dihubungi mStar.
Sementara itu, menurut Shuib, isterinya Watie Hanifiah agak sedih susulan perpisahan dengan si kecil.
"Insya-ALLAH tak ada apa cuma mummy (panggilan Watie) terlalu risau sebab kena berpisah sekejap dengan Akira.
"Saya cakap tak mengapalah beri doktor pantau Akira di dalam wad dan boleh duduk bawah lampu biru (untuk jaundis)," kongsinya.

Shuib terdahulu berkongsi video Watie yang baharu 11 hari bersalin menitiskan air mata kerana terpaksa meninggalkan bayi perempuannya itu yang ditahan di wad.
Menurut Shuib, anak kelima tersebut dimasukkan ke wad agar kesihatannya dipantau dengan lebih teliti oleh pihak hospital.
"Akira kena admit untuk dia lebih sihat. Cuma mummy sedih sangat kena berpisah kejap dgn Akira dalam dua, tiga hari.
"Cepat sihat tau sayang daddy mummy," kongsinya.
Sekadar info, Watie atau nama penuhhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah melahirkan Akira pada 6 April lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara.
Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 15, Dzahira Talita Zahra, 13, Ariq Matin, 10, Ayash Affan, 5.
Sumber: mStar
