Jawatan Pengerusi PN perlu diisi presiden parti komponen ‘Hadi pilihan paling rasional’: Bersatu Negeri Sembilan

LocalPolitics
1 Jan 2026 • 8:58 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Hanya dua tokoh dalam Perikatan Nasional (PN) yang benar-benar memiliki memiliki legitimasi, pengalaman serta penerimaan menyeluruh untuk menerajui gabungan ini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, berkata memandangkan Muhyiddin telah melepaskan jawatan Pengerusi PN, maka Hadi merupakan pilihan paling rasional, kukuh dan berwibawa bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan gabungan itu terus terpelihara.

Beliau menambah, dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar dan tidak menentu, PN memerlukan seorang pengerusi yang mempunyai autoriti moral yang kukuh, pengalaman politik yang luas serta keupayaan menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan.

Justeru Mohamad Hanifah berkata pelantikan individu selain jawatan Presiden boleh mencetuskan kekeliruan dari segi autoriti kepimpinan.

Selain itu, katanya, ia juga berisiko melemahkan rantaian pentadbiran, menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pembuatan keputusan strategik.

“Dari sudut prinsip dan amalan politik yang sihat, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional wajar disandang oleh Presiden parti komponen yang memiliki mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing.

“Hadi memenuhi kesemua keperluan ini secara menyeluruh dan tidak boleh dipertikaikan.

“Kedudukan Tuan Guru sebagai tokoh nasional yang dikenali, dihormati dan disegani menjadikan beliau aset penting kepada kekuatan serta kredibiliti PN,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hanifah turut merujuk kepada pendekatan kepimpinan dalam PAS yang berpaksikan prinsip fiqh bahawa selagi seseorang masih mampu memikul amanah, tanggungjawab tersebut wajar diteruskan demi maslahat yang lebih besar.

Prinsip itu, tegas beliau, keupayaan memimpin harus dinilai berdasarkan kebijaksanaan, pengalaman dan kebolehan membuat keputusan strategik, bukan semata-mata faktor lain yang bersifat periferal.

Terdahulu, Ketua Majlis Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan cadangan sesetengah pihak untuk melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Pengerusi PN sebagai sesuatu yang ‘menarik’.

Senada dengan beliau ialah Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamad Sukri Omar turut menyokong cadangan itu dan menyatakan sayap pemuda itu “bersetuju dengan cadangan untuk melantik Sanusi sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).”

Kekosongan jawatan Pengerusi PN berlaku susulan pengumuman Muhyiddin untuk meletak jawatan, berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lebih lima tahun memimpin gabungan itu.

Pengunduran Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu turut disertai beberapa pemimpin Bersatu lain.
Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN dan pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan). - 1 Januari, 2026

The post Jawatan Pengerusi PN perlu diisi presiden parti komponen ‘Hadi pilihan paling rasional’: Bersatu Negeri Sembilan appeared first on Scoop.