Jawatan tidak penting ketika ini: Bung

LocalPolitics
7 Apr 2025 • 2:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mardinah Jikur

SANDAKAN: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata fokus parti ketika ini adalah untuk mempersiapkan Umno/Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang, bukannya berkisar kepada soal jawatan.

“Bagi saya, isu jawatan tidak penting. Apa yang penting ialah kemenangan dalam pilihan raya.

“Ketika ini, kita stabil, walaupun ada pihak yang mendakwa sebaliknya.

“Ini adalah masa untuk merangka strategi dan memperkukuh parti, bukannya cuba menyelesaikan cabaran secara bersendirian,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi kawasan Parlimen Libaran di Aisyadelia Cottage, Batu 14, pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat, Adun Sukau Datuk Jafry Ariffin, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dan Adun Elopura, Calvin Chong.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan bekerjasama dengan parti lain menjelang pilihan raya akan datang, beliau berkata setakat ini belum ada sebarang perkembangan.

Mengenai banjir di Pangkalan Bukit Garam, Kinabatangan, Bung berkata ia merupakan isu berulang dan arahan pemindahan telah dikeluarkan kepada penduduk.

“Sebelum ini, saya pernah bina kawasan perumahan khas untuk mangsa banjir berpindah. Namun, ramai yang enggan berpindah,” katanya.

Berhubung kerusi Dun Gum-Gum yang kini tidak dipegang oleh BN, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah berkata BN tetap komited untuk merampas semula kerusi terbabit bersama dua lagi kerusi tradisi di Libaran iaitu Sungai Manila dan Sungai Sibuga.

Tambahnya, perkara paling penting bagi BN di kawasan Libaran ialah memastikan kemenangan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu, sama ada bertanding secara solo atau dalam gabungan, dengan calon-calon akan ditentukan oleh kepimpinan parti menjelang pilihan raya.