Jawatankuasa khas ditubuh tangani kompleks beli-belah Lot 1 JB Waterfront terbengkalai

29 Aug 2023 • 10:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kompleks beli-belah Lot 1 JB Waterfront City, di sini yang terbengkalai sejak 2003, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

“Kerajaan negeri telah meneliti dan memperhalusi beberapa cadangan penyelesaian berhubung bangunan beli-belah berkenaan.

“Saya juga telah meminta agar jawatankuasa khas yang akan dibentuk dipengerusikan oleh Datuk Mohd Jafni bagi menangani isu (terbengkalai) ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurutnya kompleks beli-belah itu hanya beroperasi selama tiga tahun sebelum terbengkalai sejak 20 tahun lepas.

Mohd Jafni sebelum ini dilaporkan sebagai berkata Lot 1 JB Waterfront City antara bangunan lama terbiar yang menjadi perhatian kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan isu bangunan lama dan terbiar di bandar raya Johor Bahru itu, yang dilihat mencacatkan pemandangan, memerlukan penyelesaian ‘menang-menang’ antara kerajaan negeri dan pemilik bangunan. -Bernama