Jawatankuasa khas impak krisis libatkan pemain industri

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2026 • 5:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jawatankuasa khas impak krisis libatkan pemain industri
Saarani (tengah) memotong riben sebagai gimik pelancaran Projek Gopeng Avante yang dibangunkan Kumpulan Team Keris Berhad pada Khamis.

GOPENG – Pemain industri termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan turut dilibatkan dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi menangani impak krisis global terhadap ekonomi dan rakyat di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penglibatan tersebut akan dibuat secara bersasar mengikut keperluan dan isu yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya, dua jawatankuasa yang dimaksudkan ialah Jawatankuasa Khas Impak Krisis yang dipengerusikan beliau sendiri serta Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

"Fungsi kedua-dua jawatankuasa ini berbeza tetapi matlamatnya sama iaitu menangani kesan krisis terhadap ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Jawatankuasa yang saya pengerusikan akan memberi tumpuan kepada perbincangan dasar dan kesan kepada ekonomi Perak secara keseluruhan, manakala jawatankuasa di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri melibatkan jabatan serta agensi pelaksana,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Projek Gopeng Avante yang dibangunkan Kumpulan Team Keris Berhad di sini pada Khamis.

Saarani menjelaskan, keanggotaan tetap bagi kedua-dua jawatankuasa telah ditetapkan melibatkan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

Namun katanya, penyertaan pihak luar termasuk pemain industri akan dibuat secara fleksibel mengikut keperluan semasa.

"Sebagai contoh, jika melibatkan sektor perumahan, kita akan jemput Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA). Jika berkaitan pengagihan bantuan makanan, kita akan libatkan Yayasan Bina Upaya.

"Begitu juga jika melibatkan jualan harga murah, kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Perak SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yayasan Bina Upaya dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani tidak menolak kemungkinan peningkatan kos bahan binaan susulan kenaikan harga bahan api akan memberi kesan kepada harga rumah di negeri ini.

Menurutnya, kenaikan harga diesel dan petrol akan meningkatkan kos logistik serta operasi pembinaan, sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran hartanah.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan perkembangan projek pembangunan melibatkan pembinaan Bandar Pertahanan serta kampus baharu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Katanya, projek Bandar Pertahanan di Lumut akan melengkapkan pembangunan serupa di Kuantan bagi Tentera Udara Diraja Malaysia dan di Klang bagi Tentera Darat Malaysia.

Menurut Saarani, kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tapak bagi pembangunan kampus UPNM tersebut selepas lawatan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi baru-baru ini.