Jawatankuasa pantau pembangunan Selangor Selatan, tangani isu berbangkit

20 Sep 2022 • 4:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pasukan petugas ditubuh untuk memantau Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang direncanakan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa tersebut bertindak sebagai fasilitator serta penyelaras untuk pelaksanaan projek-projek yang telah dikenal pasti.

“Mereka juga berperanan dalam meneliti penyelesaian isu-isu berbangkit. Proses pembangunan akan dilaksanakan secara mampan dengan tumpuan kepada penjagaan alam semulajadi.

“Jawatankuasa yang ditubuh akan memantau pelaksanaan cadangan pembangunan projek dan memastikan kebajikan penduduk dan kawasan sekitarnya kekal terpelihara,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Selangor mempunyai misi menggalakkan aktiviti pembangunan dan pelaburan berimpak serta bernilai tinggi di Sepang dan Kuala Langat menerusi IDRISS.

“Pembangunan yang dipacu pelaburan swasta ini mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion.

“Kerajaan Negeri sedaya upaya akan memastikan pembangunan ini terlaksana dengan cemerlang untuk kemakmuran negeri,” katanya.

Pada Julai lalu, ketika pembentangan RS-1, Amirudin memaklumkan Sepang dan Kuala Langat bakal menerima tempias ekonomi menerusi IDRISS yang dianggarkan bernilai RM1 trilion merangkumi keluasan 40,000 ekar.

Dua daerah tersebut dikenal pasti bagi pembangunan berasaskan wilayah untuk memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi di negeri ini.

Pembangunan pelaburan swasta bersepadu di dua daerah itu disokong penyediaan kelengkapan oleh negeri yang turut menyediakan insentif bersama kerajaan pusat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved