Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kelantan, Terengganu diaktifkan

25 Nov 2023 • 5:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan sembilan daerah di Kelantan dan lima di Terengganu.

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah Kelantan, Terengganu diaktifkan pada petang Sabtu susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya di 14 daerah yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, MetMalaysia pada jam 2 petang mengeluarkan amaran itu membabitkan sembilan daerah di Kelantan dan lima di Terengganu.

Katanya, di Kelantan ia membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

"Ia bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut Nadma, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas.

"Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga perlu mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan," tambahnya.

Ujarnya, Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved