Jawi bantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 5:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jawi bantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026
Jawi membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur. Gambar kecil: Hanifuddin

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur kerana dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.

Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, disebabkan itu Jawi berharap pihak penganjur dapat meneliti kembali konsep pelaksanaan festival berkenaan.

“Jawi kesal dengan penganjuran program ini dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya.

“Selain itu Jawi harap pihak penganjur cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan pusat bandar raya bakal bertukar menjadi pesta air gergasi menerusi acara Rain Rave Water Music Festival 2026, menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini di Bukit Bintang.

Acara yang menggabungkan elemen air, visual memukau dan muzik bertenaga tinggi itu dijangka menjadi antara tarikan hiburan paling 'panas' di ibu negara, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung.

Mengulas lanjut, Hanifuddin menegaskan, bantahan berkenaan turut disokong oleh pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan Bayan Linnas Siri Ke-351.

Menurutnya, penulisan yang bertajuk 'Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan' itu dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Justeru, Jawi akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari ini (30 April 2026) selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus serta rakyat Malaysia secara amnya.

“Jawi juga akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah ALLAH SWT serta menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat,” ujarnya.

Kata beliau, Jawi turut memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar.

Sementara itu, secara lebih terperinci, artikel Bayan Linnas terbabit menyebut antara perkara yang menjadi kebimbangan daripada penganjuran festival tersebut ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan yang jelas.

Menurutnya, suasana festival yang terbuka dan tidak terkawal berpotensi mendorong berlakunya ikhtilat yang melampaui batas, sedangkan Islam menekankan adab serta batas pergaulan bagi menjaga kehormatan diri.

“Selain itu, konsep festival air lazimnya melibatkan pemakaian yang tidak menepati syarat menutup aurat, lebih-lebih lagi dalam keadaan basah yang boleh menampakkan bentuk tubuh, sekali gus bercanggah dengan tuntutan syarak.

“Di samping itu, unsur hiburan yang melampau seperti muzik yang kuat, tarian bebas dan suasana yang mengasyikkan boleh membawa kepada kelalaian daripada mengingati ALLAH dan mengabaikan kewajipan agama seperti solat,” ujarnya.

Katanya, dalam banyak keadaan, festival seumpama itu juga dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan alkohol dan penyalahgunaan bahan terlarang, walaupun tidak semestinya berlaku dalam semua penganjuran.

Justeru, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan pihak penganjur menilai semula konsep dan pelaksanaan festival supaya selari dengan nilai agama, budaya serta undang-undang tempatan.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan penganjuran tidak melibatkan unsur-unsur yang boleh mencetuskan maksiat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan terlarang dan hiburan melampau.

“Selain itu, penganjur hendaklah menyediakan garis panduan yang jelas kepada semua pihak terlibat termasuk peserta dan artis, khususnya berkaitan etika berpakaian, tingkah laku serta had pergaulan.

"Kawalan keselamatan dan pemantauan yang rapi juga perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan syarak,” syornya lagi.