
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyatakan bantahan terhadap penganjuran sebuah program pesta air di Kuala Lumpur yang didakwa berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai dalam kalangan masyarakat.
JAWI dalam kenyataan hari ini meluahkan rasa kesal terhadap penganjuran program berkenaan dan berharap pihak penganjur menilai semula konsep pelaksanaannya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Haji Hanifuddin bin Roslan, pihaknya menegaskan bahawa penganjuran hiburan perlu mematuhi garis panduan syarak serta tidak mengandungi elemen yang boleh membawa kepada kerosakan akhlak dan nilai masyarakat.
Beliau berkata perkara itu turut merujuk kepada Bayan Linnas Siri Ke-351 yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, yang menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada batas syarak.
Baca juga:
‘Langkawi tidak lesu’ – Exco Kedah sanggah dakwaan Teresa Kok
‘Mungkin ini doa orang-orang teraniaya’ – Adik Jahidah
Anak Aliff Syukri, Ammar Ahyan curi tumpuan di Konvesnyen UMNO
Sehubungan itu, JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen media sosial serta khutbah Jumaat bagi meningkatkan kesedaran umat Islam untuk mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi sebarang aktiviti yang berunsur maksiat.
JAWI turut memaklumkan akan menganjurkan bacaan Yasin dan solat hajat secara serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 30 April 2026 selepas solat Maghrib, bagi memohon kesejahteraan serta keharmonian masyarakat di Wilayah Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, JAWI menyeru semua pihak agar memastikan setiap penganjuran program hiburan tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat, bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
The post JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur appeared first on The Reporter.






