Jawi sahkan tangkapan pasangan berkhalwat

9 Mar 2024 • 2:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar tular penguat kuasa Jawi terpaksa mendapatkan khidmat bomba selepas suspek enggan membuka pintu unit berkenaan.

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan tangkapan pasangan dipercayai berkhalwat di sebuah kondo mewah di ibu kota pada malam Jumaat.

Jawi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan pasangan artis berstatus suami orang dengan seorang pelakon wanita seperti dilaporkan media sejak awal pagi ini.

Jawi bagaimanapun tidak mengiyakan pasangan ditahan itu merupakan pasangan selebriti.

Ujar Jawi, satu pemeriksaan telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi di lokasi susulan aduan awam yang diterima.

"Siasatan lanjut dilakukan terhadap suspek atau Orang Yang DiSyaki (OYDS) di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], Seksyen 27 (Khalwat)," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada Jumaat, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan.

Selebriti lelaki tersebut dikatakan pernah bercerai sebelum rujuk dengan isterinya semula.

Bahkan berita tangkap tersebut turut disahkan oleh adik/kakak ipar kepada selebriti lelaki berkenaan.

Laporan itu menyebut penguat kuasa Jawi terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas suspek enggan membuka pintu unit berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur selepas bomba mahu memecahkan pintu jika mereka enggan memberikan kerjasama selepas hampir tiga jam pasukan penguat kuasa Jawi berada di depan rumah milik pelakon wanita terbabit.

Operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam membabitkan pasukan penguat kuasa Jawi tiba dengan dua van.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved