JAWI Siasat Bacaan Doa Di Majlis Pecah Tanah Bukan Islam

24 Aug 2023 • 1:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siasatan akan dijalankan berhubung insiden bacaan doa dalam ritual bukan Islam baru-baru ini. - gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menjalankan siasatan berhubung isu bacaan doa pada satu program pecah tanah orang bukan Islam baru-baru ini.

Menurut JAWI, pihaknya akan memastikan bahawa amalan tersebut tidak melanggar sebarang hukum atau fatwa yang sedang berkuat kuasa.

"Siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan amalan tersebut tidak megandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

"Sebarang kesalahan yang berhubung dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undangan dan hukuman bawah Akta 599, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," memetik kenyataan yang diedarkan oleh JAWI.

Kenyataan itu juga menyatakan, semua pihak harus berhati-hati dalam melakukan apa juga perkara dan dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak yang berkuasa khususnya jika ia melibatkan agama.

Perkara itu ialah bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran syarak berlaku yang mana boleh menjejaskan pegangan akidah seseorang yang beragama Islam.

"Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum.

"Namun semua pihak dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan," kata kenyataan itu lagi.

Semalam, telah tular satu rakaman video yang memaparkan bacaan doa oleh orang Islam dalam majlis yang dipercayai berlaku di ibu kota.

Bagaimanapun program pecah tanah berkenaan diadakan dalam satu upacara keagamaan bukan Islam yang turut dihadiri ratusan tetamu.

Upacara berkenaan yang disiarkan secara langsung itu juga menerima kecaman pengguna media sosial beragama Islam yang menontonnya. – Getaran, 24 Ogos 2023