Jaya Grocer labur RM100 juta bina gudang automasi pertama di Malaysia

19/09/2025 - 09:12
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Sept – Jaya Grocer melabur lebih RM100 juta untuk membangunkan sebuah Gudang berteknologi tinggi baharu di Selangor, langkah terbesar syarikat itu dalam automasi rantaian bekalan serta yang pertama seumpamanya dalam sektor runcit barangan runcit di Malaysia.
Jaya Grocer berkata, gudang itu akan meningkatkan kecekapan melalui teknologi pintar dan alat data yang mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi.
“Gudang baharu ini akan berfungsi sebagai hab pengedaran pusat, memastikan kedai-kedai dapat dibekalkan dengan lebih pantas dan cekap.
“Model ini menawarkan bekalan produk segar yang lebih konsisten untuk pelanggan serta menjana kecekapan lebih tinggi untuk perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu menjelaskan inisiatif mewujudkan gudang baharu itu juga menyokong matlamat kerajaan untuk meningkatkan kemahiran teknologi, selain mencerminkan strategi Jaya Grocer untuk meletakkan teknologi sebagai teras pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan sumber manusia.
“Keputusan untuk melabur dalam gudang baharu dan infrastruktur logistik canggih dibuat kerana gudang sedia ada telah mencapai kapasiti maksimum.
“Pengembangan ini dijangka memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, memperkemas aliran kerja operasi dan memperkenalkan teknologi gudang bersedia masa depan kepada komuniti tempatan,” kata Jaya Grocer.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menyifatkan pelaburan itu adalah cerminan landskap ekonomi negeri yang berkembang pesat dan persekitaran perniagaan yang kondusif.
“Ini selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi, mewujudkan pekerjaan, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui teknologi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng berkata, pembukaan gudang baharu itu bukan sekadar untuk memperluas operasi, tetapi juga membina hubungan lebih kukuh dengan pembekal tempatan.
“Secara tidak langsung, dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada produk segar dan berkualiti setiap hari,” katanya. - DagangNews.com
standard

