SHAH ALAM, 15 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk lebih RM160,000 bagi menjayakan program Ramadan Kasih tahun ini.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata daripada jumlah itu, RM100,000 bakal disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai Kuang, Gombak pada 22 Mac.

“Sumbangan kepada rumah kebajikan itu akan dilaksanakan pada 22 Mac ini yang turut disertai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Ini kemuncak program Ramadan Kasih.
“Peruntukan berkenaan turut meliputi pemberian kelengkapan sekolah seperti beg, alat tulis kepada kira-kira 45 anak gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur berusia antara tujuh hingga 17 tahun,” kata Dato’ Mahmud Abbas.
Beliau berkata demikian ketika majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS yang disertai kira-kira 500 kakitangan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

Mahmud menambah, dana RM2,500 sumbangan persatuan pegawai kanan PKNS juga akan disalurkan kepada rumah kebajikan berkenaan selain 56 kanak-kanak di situ bakal menerima duit raya RM50 setiap seorang.
Pada 22 Februari, PKNS turut membelanjakan sejumlah wang menaja anak-anak gelandangan membeli sepersalinan pakaian raya berjumlah RM300 seorang di Kompleks PKNS, dekat sini.
Anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga mengagihkan 4,500 bubur lambuk Kampung Baru secara percuma sepanjang Ramadan ini di tiga lokasi iaitu PKNS Shah Alam, Evo Mall, Bandar Baru Bangi dan pusat beli-belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur.
“PKNS turut merancang mengadakan program berbuka puasa bersama anak gelandangan dan rakan strategik pada 20 Mac. Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan PKNS terhadap golongan kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya.


The post Jayakan Ramadan Kasih, PKNS hulur lebih RM160,000 bantu golongan memerlukan appeared first on Selangorkini.
