HULU SELANGOR, 12 MAC : Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa menziarahi tiga asnaf di kediaman mereka sempena program Ihya’ Ramadan di daerah ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Beliau ketika ditemui berhasrat menjadikan program santuni asnaf itu sebagai acara tahunan bagi memastikan lebih ramai golongan rentan dapat dibantu.

“Ini merupakan sebahagian program Ramadan kita di Hulu Selangor hari ini iaitu selain berbuka kita juga santuni asnaf terpilih dan peniaga di bazar.
“Insya-Allah, program ini akan dijadikan tradisi pada masa akan datang. Terima kasih kepada agensi yang memberi sumbangan meringankan beban asnaf ini,” katanya.
Terdahulu, Amirudin turut menziarahi kediaman Ahli Parlimen Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun bagi bertanya khabar keadaan kesihatannya selepas menjalani rawatan jantung.
Sementara itu, salah seorang asnaf yang juga penghidap barah usus Rozita Abdullah, 48, teruja apabila mendapat tahu Dato’ Menteri Besar mahu berkunjung ke kediamannya hari ini.

“Saya baharu tahu semalam Dato’ Seri mahu datang, gembira sangat. Terima kasih kerana sudi ke rumah kami dan menghulurkan sumbangan, boleh bantu tampung untuk Ramadan dan Hari Raya nanti.
“Terima kasih, maaf jika ada kekurangan. Semoga inisiatif turun padang berjumpa rakyat ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” kata ibu seorang anak itu.
The post MB ziarah tiga keluarga asnaf, hulur bantuan bakul makanan appeared first on Selangorkini.

