hamden04/11/2026 - 14:41 KUALA LUMPUR 4 Nov – Johor Corporation Bhd (JCorp) dan firma ekuiti swasta, CVC Capital Partners dilaporkan sedang mencari pembeli bagi perniagaan makanan segera KFC dan Pizza Hut, dengan harga jualan yang diminta dianggarkan sekitar RM4 bilion.
Menurut laporan The Edge yang memetik sumber, kedua-dua pemegang saham itu menyasarkan pelabur asing, khususnya dari Timur Tengah, bagi mengambil alih perniagaan berkenaan ketika sektor makanan dan minuman berdepan persaingan sengit serta peningkatan kos operasi.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, bank pelaburan antarabangsa, Citi, dilantik untuk mengendalikan proses pencarian pembeli.
Bagaimanapun, dua sumber memaklumkan bahawa walaupun terdapat pihak berpotensi yang sudah menyatakan minat, kemungkinan urus niaga itu dimuktamadkan masih belum dapat dipastikan.
Seorang sumber berkata, harga jualan menjadi antara isu utama selepas sekurang-kurangnya seorang pihak yang berminat menarik diri kerana menganggap harga diminta terlalu tinggi.
JCorp dan CVC bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki perniagaan KFC dan Pizza Hut menerusi Massive Equity Sdn Bhd, yang memiliki sepenuhnya QSR Brands (M) Holdings Bhd.
800 restoran KFC, 500 Pizza Hut
QSR Brands mengendalikan lebih 800 restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, selain lebih 500 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura.
JCorp memegang 55.63% kepentingan dalam Massive Equity, manakala Melati Asia Holdings Ltd memiliki 44.19%, dengan baki saham dipegang beberapa individu.
Melati Asia dimiliki bersama oleh KWSP dengan pegangan 51% dan CVC sebanyak 49%.
Ketika dihubungi The Edge, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan JCorp, Hasnina Hafiz berkata, kumpulan itu memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan berdaya saing dan berdaya tahan dalam keseluruhan portfolionya.
Menurutnya, QSR Brands kekal sebagai bahagian penting dalam portfolio pelaburan JCorp, manakala peningkatan prestasi syarikat itu mencerminkan kemajuan dalam memperkukuh kecekapan operasi dan daya saing.
Beliau berkata, JCorp mengamalkan pendekatan berdisiplin dalam menilai peluang pelaburan bagi mewujudkan nilai mampan untuk jangka panjang kepada pihak berkepentingan.
“Sebarang perkembangan material akan dimaklumkan menerusi saluran sewajarnya pada masa yang sesuai,” katanya.
CVC pula enggan mengulas mengenai perkara itu.
QSR Brands kembali catat keuntungan
KFC dan Pizza Hut sebelum ini terjejas akibat boikot pengguna yang bermula susulan konflik Israel-Palestin pada Oktober 2023, selain berdepan tekanan peningkatan kos operasi.
Jenama Barat lain atau yang dilihat sebagai jenama Barat, termasuk McDonald's dan Starbucks, turut menerima kesan daripada gerakan boikot berkenaan.
Bagaimanapun, JCorp pada Jun lalu memaklumkan bahawa QSR Brands mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 19% kepada RM3.85 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), meskipun berdepan perubahan corak perbelanjaan pengguna dan tekanan kos.
Kumpulan itu turut kembali mencatatkan keuntungan selepas melaksanakan langkah meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan portfolio, menambah baik pengalaman pelanggan serta memperketat disiplin kos.
Bagaimanapun, JCorp tidak mendedahkan jumlah keuntungan yang direkodkan QSR Brands.
Data kewangan OneCredit menunjukkan hasil QSR Brands berjumlah RM4.81 bilion pada FY2022 sebelum meningkat sedikit kepada RM4.87 bilion pada FY2023, kemudian merosot 33.7% kepada RM3.23 bilion pada FY2024.
QSR Brands mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM49.58 juta pada FY2022, sebelum merekodkan kerugian sebelum cukai RM66.2 juta pada FY2023 dan kerugian lebih besar sebanyak RM332.67 juta pada FY2024.
Syarikat itu turut merekodkan kerugian selepas cukai RM22.13 juta pada FY2022, RM95.15 juta pada FY2023 dan RM431.57 juta pada FY2024.
Prestasi QSR Brands tahun ini masih menjadi perhatian susulan konflik Amerika Syarikat-Iran sejak akhir Februari yang mendorong kenaikan harga komoditi seperti minyak, sekali gus meningkatkan kos kepada pengguna dan perniagaan.
Sementara itu, JCorp mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam keuntungan bersih kepada RM703 juta pada FY2025 berbanding RM317 juta pada tahun sebelumnya, disokong prestasi lebih kukuh sektor terasnya, khususnya kesejahteraan dan penjagaan kesihatan serta agribisnes.
Untuk rekod, JCorp bersama KWSP dan CVC mengambil alih QSR Brands serta anak syarikatnya, KFC Holdings (M) Bhd, menerusi urus niaga bernilai RM5.2 bilion pada 2012, sebelum proses penswastaan itu diselesaikan pada Februari 2013. - DagangNews.com

