JDT akui khilaf dalam urusan pematuhan peraturan FIFA

LocalFootball
23 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: JDT akui khilaf dalam urusan pematuhan peraturan FIFA

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengakui berlaku kecuaian dalam urusan pematuhan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga menyaksikan juara Liga Super itu dikenakan penalti pentadbiran kira-kira €1,122 (RM5,400)

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pengurusan tertinggi kelab tidak menyedari perkara itu sebelum siasatan dalaman mendapati surat-menyurat daripada badan induk bola sepak dunia berhubung isu berkenaan terlepas pandang.

Menurut Garcia, beberapa individu yang dikenal pasti bertanggungjawab sudah dikenakan tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Walaupun penalti sebanyak 2.5 peratus itu mungkin dianggap kecil, JDT memandang serius perkara ini kerana urusan sedemikian tidak sepatutnya terlepas pandang.

“Kami akan memastikan tiada kejadian seumpama ini berulang pada masa depan,” katanya dalam kenyataan kelab.

Sebagai rekod, Harimau Selatan dikenakan penalti oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA selepas gagal melengkapkan penilaian pematuhan wajib di bawah Peraturan FIFA Clearing House, membabitkan 31 arahan pembayaran.

Kes itu berkait kelewatan pembayaran pampasan latihan berjumlah €44,878.68 (RM215,000) kepada kelab-kelab pembangunan pemain, manakala penalti 2.5 peratus yang dikenakan berjumlah sekitar €1,122 (RM5,400).

Arahan pembayaran berkenaan melibatkan perpindahan penyerang Colombia, Jorge Leonardo Obregon dari HNK Rijeka, Croatia, serta penyerang kelahiran Brazil, João Figueiredo dari RAMS Basaksehir, Turkiye.

Peraturan FIFA menetapkan kelab perlu melepasi penilaian pematuhan sebelum pembayaran pampasan latihan dapat diproses dan disalurkan kepada kelab yang melatih pemain terbabit.

Penilaian itu merangkumi pematuhan terhadap undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan sekatan antarabangsa.

Dokumen keputusan turut menyatakan JDT tidak mengemukakan pembelaan sebelum hukuman dimuktamadkan pada 22 September lalu, meskipun diberikan tempoh tiga hari untuk menjawab perkara berkenaan. – KOSMO! ONLINE

 

The post JDT akui khilaf dalam urusan pematuhan peraturan FIFA appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved