
Juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), mengeluarkan kenyataan berhubung penalti yang dikenakan terhadap kelab berkenaan arahan pembayaran di bawah Peraturan Clearing House FIFA (FCH) malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia, mengesahkan perkara tersebut, sambil memaklumkan pengurusan tertinggi kelab sebelum ini tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menjalankan siasatan dalaman.
"Kami mendapati bahawa surat-menyurat dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perkara tersebut telah terlepas pandang.
"Kami telah mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Walaupun kadar penalti yang dikenakan hanya 2.5 peratus, namun bekas legenda Liverpool itu menegaskan JDT tetap memandang serius perkara itu agar tidak berulang pada masa akan datang.
Fail kes bertarikh 22 September itu telah tersebar luas di media sosial sejak semalam.
Kegagalan itu menyebabkan pembayaran pampasan latihan berjumlah 44,878.68 euro (kira-kira RM215,000) kepada kelab pembangunan pemain tertangguh, dengan jumlah levi dianggarkan 1,122 euro (kira-kira RM5,400).
Levi ini berfungsi sebagai pengganti faedah lewat bayar dan perlu disalurkan kepada kelab terbabit melalui FCH.
Sebanyak 31 perintah pembayaran itu melibatkan perpindahan penyerang Colombia, Jorge Leonardo Obregon, dari kelab Croatia, HNK Rijeka, serta penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo, dari kelab Turkiye, RAMS Basaksehir.



