
Misi Merdeka kedua yang diketuai Tunku Abdul Rahman berangkat ke London pada Januari 1956.
Fakta sejarah itu antara soalan yang perlu dijawab peserta program Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026.
Menariknya, peserta turut berpeluang mengenali beberapa tokoh penting termasuk arkitek Ibu Pejabat Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSR), Arthur Benison Hubback dan Presiden Filipina yang terlibat dalam pembentukan Maphilindo, Diosdado Macapagal.
Pendekatan itu membuktikan pembelajaran sejarah tidak semestinya berlangsung secara formal, sebaliknya boleh diterapkan melalui pengalaman, penerokaan dan aktiviti lebih santai serta interaktif.
Dalam masa sama, program anjuran Warisan KL sempena Hari Kebangsaan ke-69 itu dapat memupuk penghargaan, semangat cintakan tanah air dan kebanggaan terhadap peninggalan sejarah negara.
Peserta perlu meneroka beberapa mercu tanda bermula di Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan pada 1957, sebelum berakhir di Dataran Merdeka, lokasi bendera Persekutuan Tanah Melayu pertama kali dikibarkan.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Izwan Hasli.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Farah Adura Hamidi dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Faizal Mahmood.
Sepanjang eksplorasi, peserta turut berinteraksi dengan pengunjung dan usahawan yang mengambil bahagian dalam program tersebut, sekali gus menonjolkan peranan ruang warisan sebagai hab dinamik untuk penglibatan masyarakat dan aktiviti komuniti.
Peserta turut diberikan tugasan berkaitan warisan seperti menyediakan teh tarik dan mengambil gambar di kawasan bersejarah, selain menyelusuri lokasi seperti Jalan Petaling, Masjid India,
Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, manakala tempat kedua menerima RM3,000 dan ketiga (RM2,000).
The post Jejak sejarah menerusi Xplorasi Warisan KL appeared first on Utusan Malaysia.


