Warisan KL anjur pertandingan Xplorasi Merdeka sempena Bulan Kebangsaan

6 Aug 2026 • 11:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Warisan KL anjur pertandingan Xplorasi Merdeka sempena Bulan Kebangsaan Image from: Warisan KL anjur pertandingan Xplorasi Merdeka sempena Bulan Kebangsaan liza06/08/2026 - 11:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Warisan KL akan menganjurkan program eksplorasi khas pada 30 Ogos ini bagi mengajak rakyat Malaysia menghayati sejarah kemerdekaan negara menerusi pengembaraan interaktif merentasi lokasi-lokasi bersejarah di ibu negara.

 

Program Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertai eksplorasi bandar yang menggabungkan elemen penemuan, kerja berpasukan serta cabaran interaktif di sepanjang koridor warisan Kuala Lumpur.

 

Tidak sekadar hanya pertandingan, peserta akan menelusuri semula perjalanan negara menuju kemerdekaan dengan mempelajari kisah sejarah, ketahanan dan pembinaan negara di lokasi-lokasi yang menjadi saksi kepada detik penting negara.

 

Warisan KL dalam satu kenyataan berkata pengembaraan itu akan bermula di Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, sebelum berakhir di Dataran Merdeka.

 

“Program itu juga merupakan sebahagian daripada siri aktiviti Warisan KL yang mengetengahkan warisan, budaya dan penglibatan komuniti melalui pelbagai acara sempena sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur,” katanya.

 

Peserta sertai cabaran berteraskan warisan

Sepanjang eksplorasi, peserta akan menyelesaikan pelbagai cabaran bertemakan warisan termasuk teka-teki, cabaran fotografi, pengumpulan cop, cabaran digital dan aktiviti kreatif yang direka untuk memperkenalkan sejarah serta budaya Kuala Lumpur.

 

Menurut Warisan KL, pendekatan tersebut bertujuan menghubungkan semula masyarakat dengan warisan ibu kota sambil memupuk semangat identiti, kebanggaan dan penghargaan terhadap sejarah negara.

 

t

 

Program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, rakan sektor awam dan swasta, penggiat budaya serta komuniti dalam usaha memelihara dan memperkasakan warisan Kuala Lumpur untuk generasi akan datang.

 

Melalui kerjasama itu, Warisan KL berharap ruang-ruang warisan dapat dihidupkan semula sebagai lokasi pembelajaran, penerokaan dan penglibatan komuniti yang lebih dinamik.

 

Terbuka kepada orang ramai

Selepas menamatkan eksplorasi, peserta akan menyertai sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka yang turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, bazar, hiburan serta acara ‘countdown’ Hari Kebangsaan.

 

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang juga akan diadakan di lokasi sama, dengan peserta berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai yang disediakan penganjur.

 

Penyertaan dibuka kepada orang ramai termasuk keluarga, pelajar, pasukan korporat, peminat warisan, pencipta kandungan dan pelancong yang ingin menikmati pengalaman meneroka Kuala Lumpur dari perspektif berbeza.

 

Pendaftaran bagi Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka kini dibuka dengan penyertaan dihadkan kepada 65 pasukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. 

 

Orang ramai boleh membentuk pasukan masing-masing dan mendaftar untuk menyertai pengalaman bertemakan kemerdekaan itu melalui platform yang disediakan oleh penganjur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved