
KULAI - Usaha memperkasa budaya integriti dalam kalangan masyarakat terus dipergiat menerusi program Jelajah Antirasuah KPS ACT-i yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan dan sektor korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, sesi ceramah dan perkongsian ilmu kepada pelajar sekolah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi.
"Kita menggunakan pendekatan interaktif ketika berinteraksi bersama lebih 600 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra bagi menyampaikan mesej berkaitan pembentukan jati diri sebagai pemimpin masa depan.
"Kita tekankan aspek tanggungjawab, cara berinteraksi dengan rakan sebaya serta kemampuan mengurus tekanan dalam dunia digital masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Antirasuah KPS ACT-i di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, walaupun golongan remaja dilihat matang kerana keterbukaan kepada dunia media sosial, mereka masih perlu dibimbing untuk memahami makna sebenar tanggungjawab.
"Kematangan bukan hanya soal cara fikir, tetapi bagaimana mereka membuat keputusan dan membawa nilai diri.
"Sebab itu kita tekankan pembinaan asas etika dan kepimpinan supaya apa yang dipelajari bukan sekadar teori, tetapi boleh diamalkan walau sekecil mana sekalipun,” ujarnya.
Tambah beliau, selain pelajar, program itu turut melibatkan sesi khas bersama pihak korporat iaitu Toyoplas Manufacturing (M) Sdn Bhd.
Katanya, antara perkara yang menjadi fokus utama dalam program itu adalah mengenai cabaran budaya kerja, manipulasi terhadap pematuhan serta tekanan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
"Kita bukan hanya bercakap soal risiko rasuah tetapi juga risiko budaya yang membolehkan perkara tidak sihat dianggap normal.
"Integriti bukan beban, sebaliknya benteng yang menjaga diri dan organisasi daripada terjerumus dalam masalah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Toyoplas Manufacturing (M) Sdn Bhd, Andrew Soo Hoo menyifatkan sesi perkongsian bersama Rasuah Busters sebagai satu permulaan penting dalam membentuk budaya kerja berintegriti dalam kalangan warga korporat.
Menurutnya, usaha membina persekitaran kerja yang sihat akan membantu syarikat mempromosi keadilan serta memberi peluang saksama kepada semua pihak.
“Saya rasa hari ini Nurhayati menyampaikan kata-kata yang sangat mengagumkan, sangat relevan dan praktikal. Ia membantu membentuk budaya kerja dan pendekatan seimbang, sekali gus memupuk amalan antirasuah secara menyeluruh.
“Sesi ini merupakan langkah awal, kita akan teruskan dengan beberapa siri lain selepas ini untuk memperkukuh lagi mesej yang disampaikan dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.



