KUALA LUMPUR 2 Okt – ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), syarikat yang mengendalikan dan menyelenggara Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menawarkan 65 ruang niaga serta 35 pakej pengurusan fasiliti kepada usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL.
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL yang berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober 2026 melibatkan lima lokasi iaitu Pasir Puteh di Kelantan; Marang dan Dungun di Terengganu; serta Temerloh dan Kuantan di Pahang.
Program julung kali dianjurkan EOSB itu bertujuan memberi pendedahan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor tempatan mengenai peluang perniagaan dan perkhidmatan sokongan dalam ekosistem pengoperasian ECRL.
Peserta turut diberikan penerangan mengenai kategori perniagaan, skop perkhidmatan, syarat umum penyertaan serta proses pemilihan bagi peluang yang ditawarkan.

65 ruang niaga di stesen ECRL
Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif berkata daripada keseluruhan peluang yang ditawarkan, sebanyak 65 ruang niaga termasuk kiosk dan kereta sorong (pushcart) akan disediakan di stesen-stesen ECRL.
“Ruang berkenaan boleh dimanfaatkan bagi perniagaan makanan dan minuman, barangan runcit dan keperluan perjalanan, produk tempatan serta cenderamata dan perkhidmatan berkaitan penumpang.
“Sementara itu, sebanyak 35 pakej pengurusan fasiliti dikenal pasti untuk ditawarkan kepada kontraktor tempatan dengan nilai keseluruhan kontrak dianggarkan RM12.7 juta bagi 2027.
“Pakej berkenaan merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan am bangunan serta penyelenggaraan sistem penyaman udara,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 1,665 hadir sesi taklimat
Jelajah itu menerima sambutan menggalakkan dengan keseluruhan 1,665 orang menghadiri sesi taklimat yang dianjurkan, terdiri daripada 321 orang di Kelantan, 534 orang di Terengganu dan 810 orang di Pahang.
Beliau berkata operasi rangkaian ECRL memerlukan sokongan pelbagai penyedia perkhidmatan bagi memastikan stesen, bangunan dan kemudahan sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, selesa serta berfungsi dengan baik.

“Menerusi jelajah berkenaan, EOSB dapat mendekati komuniti usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL, selain memberikan maklumat lebih jelas mengenai peluang yang tersedia, syarat penyertaan dan proses pemilihan.
“Penglibatan komuniti perniagaan dan kontraktor tempatan juga berpotensi membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja setempat serta membangunkan penyedia perkhidmatan tempatan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, penyertaan usahawan tempatan dijangka dapat mengetengahkan produk serta identiti negeri-negeri di sepanjang jajaran ECRL, sekali gus memperkayakan pengalaman penumpang dan mewujudkan ruang ekonomi baharu di stesen-stesen ECRL.
EOSB diperbadankan pada 2 Mei 2025 sebagai syarikat usaha sama Malaysia-China bagi mengendalikan dan menyelenggara ECRL, dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua negara dalam operasi perkhidmatan rel serta menyokong pemindahan pengetahuan dan pembangunan industri rel Malaysia.
ECRL merupakan rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Pelabuhan Klang, Selangor, merentasi empat negeri dan melibatkan 20 stesen bagi menyediakan perkhidmatan rel penumpang dan kargo. - DagangNews.com




