Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu bantu usahawan perluas pasaran

LocalStartup
10 Sep 2026 • 4:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu bantu usahawan perluas pasaran Image from: Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu bantu usahawan perluas pasaran liza10/09/2026 - 16:03 Studio itu dilancarkan sempena Market Innovation Showcase 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 September 2026 di Kuala Terengganu. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 10 Sept – Usahawan Terengganu kini mempunyai lebih banyak peluang untuk memperluas pasaran menerusi pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu yang menyediakan kemudahan bagi membantu mereka menguasai pemasaran digital dan jualan secara langsung.

 

Studio itu dilancarkan sempena Market Innovation Showcase 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 September 2026 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

 

Market Innovation Showcase 2026 merupakan program anjuran bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dengan kerjasama strategik TikTok Shop Malaysia.

 

Bertemakan “Inovasi Untuk Semua”, program itu menghimpunkan penyelidik, usahawan, pemain industri, syarikat pemula, pelajar dan komuniti dalam satu platform yang menghubungkan hasil inovasi dengan peluang pengkomersialan.

 

Program berkenaan turut menyediakan platform bagi memudah cara pemindahan harta intelek dan teknologi UMT kepada usahawan serta pihak industri yang berpotensi, selain mempromosikan produk inovasi UMT, syarikat pemula, inovasi pelajar dan produk usahawan bimbingan YPUT.

 

Perkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata kerjasama antara kerajaan, universiti, agensi pembangunan usahawan dan industri penting dalam membentuk ekosistem inovasi yang lebih tersusun, dinamik dan berdaya saing.

 

Katanya, inovasi tidak seharusnya terhenti di makmal atau sekadar menjadi hasil penerbitan ilmiah, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

 

“Pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu merupakan langkah tepat pada masanya bagi membantu usahawan tempatan memperkukuh jenama, menguasai pemasaran digital dan memperluas capaian produk ke pasaran lebih besar,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

 

t

 

Bantu usahawan kuasai jualan secara langsung

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor,  Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen UMT untuk memastikan hasil penyelidikan, kepakaran dan teknologi universiti dapat dimanfaatkan oleh industri, usahawan dan masyarakat.

 

Katanya, UMT bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan graduan dan menghasilkan penyelidikan berkualiti, malah perlu memastikan ilmu, teknologi dan inovasi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai ekonomi dan sosial.

 

Pengarah Kanan Perhubungan Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz pula berkata perkembangan perdagangan berasaskan kandungan dan sesi jualan secara langsung membuka peluang baharu kepada usahawan untuk mendekati pengguna dengan cara lebih kreatif dan interaktif.

 

Beliau berkata, Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu diharapkan menjadi ruang pembelajaran dan pembangunan kapasiti kepada usahawan tempatan, termasuk meningkatkan kemahiran menghasilkan kandungan, mengendalikan sesi jualan secara langsung, memperkukuh penjenamaan dan membina keyakinan pengguna.

 

Pamer inovasi, produk dan peluang pengkomersialan

Sepanjang tiga hari penganjuran, Market Innovation Showcase 2026 menampilkan pameran produk inovasi UMT, produk syarikat pemula, inovasi pelajar serta produk usahawan bimbingan YPUT.

 

Program itu turut diisi dengan sesi perkongsian, pocket talk, demonstrasi produk, pertandingan dan aktiviti komuniti, selain mendapat sokongan rakan strategik industri termasuk Rempah Cap Bunga Rose, Estika Medi Spa, Dr. Ridzuan Manufacturing, Gedung Din Collection, OS-Start Up, Kaprima, Nachik Empire dan XOFI.

 

Penglibatan rakan strategik berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama industri dalam membantu pembangunan produk, pemadanan perniagaan, peluasan pasaran dan pengkomersialan hasil inovasi.

 

Melalui pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu, usahawan dijangka mendapat akses kepada kemudahan dan bimbingan untuk menghasilkan kandungan digital, menjalankan sesi jualan secara langsung serta memperkenalkan produk kepada khalayak lebih luas.

 

Inisiatif itu diharapkan dapat melahirkan lebih ramai usahawan digital yang kreatif dan berdaya saing, selain membantu produk inovasi serta produk tempatan Terengganu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved