
PETALING JAYA – Seramai 500,000 rakyat disasarkan mendapat akses kepada kemahiran, peluang pekerjaan dan keusahawanan digital menerusi Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 yang akan menjelajah lima lokasi di seluruh negara.
Inisiatif Kementerian Digital itu menjadi platform untuk membawa latihan, teknologi serta peluang ekonomi digital lebih dekat kepada masyarakat, termasuk pelajar, belia, pencari kerja, pekerja bebas dan usahawan digital.
Ia selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, JMD membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Melalui Jelajah Malaysia Digital, lebih ramai rakyat dapat mengakses kemahiran digital, teknologi baharu dan peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh daya saing negara.
“Usaha ini juga sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membangunkan bakat digital yang bersedia menghadapi era AI, memperkukuh daya saing negara dan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara AI menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan JMD 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai, semalam.
Hampir 1,000 pengunjung hadir pada pelancaran tersebut yang menjadi lokasi pertama daripada lima siri jelajah JMD 2026 di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, JMD menjadi platform untuk menghubungkan rakyat dengan peluang latihan, pekerjaan, keusahawanan dan teknologi digital.
“JMD membuka laluan kepada rakyat untuk membina kemahiran, meneroka kerjaya baharu, menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
“Dengan memperluaskan akses kepada teknologi digital dan AI, kita bukan sahaja memperkasa rakyat, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Jelajah Malaysia Digital sasar 500,000 rakyat kuasai ekonomi digital appeared first on Kosmo Digital.






