
RANAU: E-sukan kini bukan sekadar hiburan, malah telah berkembang menjadi industri ekonomi digital yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya kepada golongan muda Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun pada Sabtu.
Beliau berkata, pertumbuhan pesat industri ini telah mewujudkan peluang bukan sahaja untuk pemain profesional, malah bagi jurulatih, penganalisis permainan, pencipta kandungan, penstrim, pengulas, pengurus pasukan, pemasar digital dan pakar teknologi.
“Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai belia Sabah menjadi pencipta pekerjaan dan pemimpin dalam ekonomi digital dengan mengembangkan bakat mereka melalui ilmu, disiplin dan pengalaman,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin, pada majlis perasmian Borneo Esport Tournament 2026 (BEST26) di Dewan Masyarakat Ranau.
Masidi berkata, kerjasama erat antara kerajaan, komuniti e-sukan, sektor swasta dan penganjur kejohanan perlu diperkukuh bagi memacu pertumbuhan industri serta menyediakan lebih banyak peluang untuk bakat tempatan berkembang.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan menyokong pembangunan bakat dan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi memastikan e-sukan terus berkembang sebagai pemangkin ekonomi digital Sabah.
Tambahnya, belia Sabah, khususnya dari Ranau, mempunyai potensi untuk cemerlang di peringkat lebih tinggi jika diberi peluang mengasah kemahiran melalui pertandingan dan mendapat akses lebih luas kepada industri e-sukan.
Kejohanan itu mempertandingkan tiga gelaran termasuk Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile dan eFootball, serta menarik penyertaan seramai 381 peserta dari sembilan daerah: Ranau, Kota Kinabalu, Labuan, Keningau, Tambunan, Semporna, Kota Belud, Kota Marudu dan Sandakan.
Turut hadir ialah Ketua Unit Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ranau Sazaki Mohd Zin, Pengarah Program Borneo Esport 2026 Mohd Adib Moin, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan Syukri Saridih dan lain-lain.





