‘Jelas pendirian kami’ – Fly FM henti main lagu Ed Sheeran

LocalMusic
19 Sep 2026 • 2:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jelas pendirian kami’ – Fly FM henti main lagu Ed Sheeran

 

PETALING JAYA – Stesen radio bahasa Inggeris tempatan, Fly FM mengambil pendekatan untuk berhenti memainkan lagu penyanyi Britain, Ed Sheeran, daripada senarai putaran lagunya susulan kontroversi membabitkan rapper Amerika Syarikat, Macklemore, yang disingkirkan daripada konsert jelajah Loop Tour Sheeran.

Fly FM mengumumkan keputusan itu menerusi hantaran dalam media sosial pada 18 September dengan mesej ‘Off our playlist! Some things matter more than music’.

Dalam kenyataan tersebut, stesen berkenaan menyatakan pendirian menyokong rakyat Palestin serta artis yang menggunakan platform mereka untuk menyuarakan pendirian mengenai isu berkenaan.

“Anda mungkin pernah melihat berita tentang Macklemore yang digugurkan daripada Jelajah Loop selepas memperjuangkan Palestin.

“Kami mahu jelas tentang pendirian kami. Fly FM berdiri bersama rakyat Palestin dan bersama artis yang menggunakan suara mereka untuk apa yang mereka percayai.

“Muzik sepatutnya memberi suara kepada orang ramai. Bukannya menghilangkannya. Kami berdiri bersama Palestin. Kami berdiri bersama seniman yang bersuara untuk mereka,” tulis mereka dalam satu hantaran Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan stesen radio itu dan meminta agar lebih ramai artis yang menyokong Zionis diboikot daripada stesen radio berkenaan.

“Terima kasih. Bangga dengan Fly FM. Diharapkan dapat memboikot beberapa artis lain juga yang terbuka menyokong zionis,” komen netizen.

Sebelum ini, sebuah stesen radio di Ireland iaitu Classic Hits Radio turut mengambil pendekatan yang sama selepas disarankan oleh pendengar mereka.

Mereka turut mendukung dua artis kelahiran Ireland iaitu Aaron Rowe dan Beiga yang menarik diri daripada konsert jelajah Sheeran.

Terdahulu, tindakan Sheeran menggugurkan Macklemore daripada baki konsert jelajahnya gara-gara kelantangan rapper itu menyokong Palestin mengundang amarah seluruh dunia.

Selepas disingkirkan, Macklemore mengumumkan dia akan mendermakan AS$1 juta (RM4.10 juta) kepada enam badan kebajikan yang menyokong rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Jelas pendirian kami’ – Fly FM henti main lagu Ed Sheeran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved