KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang didakwa menjeling sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong di sini, dipercayai menjadi punca dia dibelasah pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak polis sedang menjalankan tindakan lanjut.
“Pergaduhan berpunca akibat mangsa yang sedang makan di restoran berkenaan jeling (memandang) ke arah suspek.
“Suspek yang sedang mabuk tidak berpuas hati kerana dijeling sebelum terus menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Basri berkata, suspek telah ditahan dan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera di restoran terbabit.





