KAJANG - Polis giat mengesan pemandu lori yang dipercayai menyebabkan kemalangan maut seorang penunggang motosikal di Jalan Desa Serdang di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku apabila lori jenis bonded masuk simpang dari jalan utama secara cuai.
Menurutnya, penunggang motosikal jenis Honda Wave yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bergesel dengan lori tersebut dan terjatuh.
"Mangsa hanya dijumpai oleh orang awam selepas kejadian dan dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan.
"Mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan hari akibat 'Severe Traumatic Brain Injury'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kilang berdekatan mengesahkan kejadian tersebut.
Bagaimanapun katanya, nombor pendaftaran lori tidak dapat dikenal pasti dengan jelas dan pihak polis sedang mengesan pemandu tersebut untuk membantu siasatan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502," ujarnya.
Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta berhati-hati semasa memandu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






