MAKKAH – Seorang jemaah haji lelaki Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M dilaporkan meninggal dunia pada Isnin, 4 Mei lalu.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, jemaah berusia 70 tahun dari Senggarang, Johor itu hadir ke Tanah Suci bersama isterinya dan merupakan peserta di bawah Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) kumpulan KT34.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham menginap di Hotel Elaf Al Bait di sini dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ajiyad pada jam 6.16 petang akibat serangan jantung.
“Jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat Subuh sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas kehilangan tersebut.




