278 jemaah KT051 selamat tiba di Makkah

LocalTravel
6 May 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 278 jemaah KT051 selamat tiba di Makkah
Ketibaan rombongan itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan petugas TH
Image from: 278 jemaah KT051 selamat tiba di Makkah
Nadia Hanis Abdul Samat
Image from: 278 jemaah KT051 selamat tiba di Makkah
Noor Naziera Zailan

MAKKAH – Seramai 278 jemaah haji Malaysia daripada penerbangan KT051 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.33 pagi waktu tempatan, Rabu.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, kesemua jemaah sebelum itu mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada 4 Mei lalu susulan isu teknikal penerbangan.

Sejurus tiba di Jeddah, mereka dibawa ke penginapan di Rehab Al Janadriyah, di sini dan diberikan tempoh rehat sebelum meneruskan ibadah.

Ketibaan rombongan itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan petugas TH yang telah bersiap siaga bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara.

Menurut Mohd Hisham, walaupun berdepan situasi yang tidak dapat dielakkan, semua jemaah berjaya dibawa ke Tanah Suci dengan selamat dan operasi haji berjalan seperti biasa.

“TH komited meletakkan kebajikan dan keselamatan jemaah sebagai keutamaan utama dalam setiap operasi.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Oman serta pihak penerbangan yang membantu menguruskan kebajikan jemaah sepanjang situasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, pengalaman ketika pesawat mendarat di Oman disifatkan sebagai detik mendebarkan oleh jemaah yang terlibat.

Seorang jemaah, Nadia Hanis Abdul Samat, 39, berkata, keadaan dalam pesawat berubah secara tiba-tiba apabila tekanan udara dirasai berbeza selain pesawat seolah-olah menurun.

**media[3512340]**

“Memang terasa cemas ketika itu, namun juruterbang mengendalikan situasi dengan tenang dan profesional.

“Apabila diberi penjelasan mengenai keadaan pesawat, kami kembali bertenang,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Noor Naziera Zailan, 30, berkata, situasi tersebut secara tidak langsung mengeratkan hubungan sesama jemaah apabila masing-masing saling memberi sokongan.

**media[3512343]**

“Dalam keadaan begitu, kami cuba kuatkan semangat antara satu sama lain. Ujian ini ada hikmahnya,” katanya.

Kesemua jemaah kini dijadualkan memulakan ibadah umrah pertama selepas tempoh rehat.