Jemaah haji muassasah DUN Taman Medan disaran daftar terima bantuan RM1,500

LocalPolitics
19 Apr 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jemaah haji muassasah DUN Taman Medan disaran daftar terima bantuan RM1,500

PETALING JAYA, 19 APRIL: Bakal jemaah haji muassasah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan disaran segera mendaftar bagi menerima bantuan khas Kerajaan Negeri.

Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berkata pendaftaran boleh dibuat di pejabatnya bagi membolehkan mereka menerima sumbangan RM1,500 seorang.

Menurut beliau, setakat ini hanya 50 individu telah mendaftar walaupun lebih ramai dijangka menerima tawaran menunaikan haji tahun ini.

“Setakat ini kita baru ada 50 orang mendaftar. Saya minta penduduk DUN Taman Medan yang mendapat tawaran haji muassasah tahun ini mendaftar di pejabat saya.

Image from: Jemaah haji muassasah DUN Taman Medan disaran daftar terima bantuan RM1,500
Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Iltizam Aidilfitri 2026 Penyelaras DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda PJS1, Petaling Jaya pada 18 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Jadi jangan lepaskan peluang RM1,500, hadiah daripada Kerajaan Selangor untuk mereka yang mendapat tawaran haji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Iltizam Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat Cabang Petaling Jaya dan Penyelaras DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda PJS 1, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Halimey berkata pihaknya akan meneruskan penganjuran Anugerah Kecemerlangan untuk pelajar yang baharu memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, maklumat lanjut berhubung program itu akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk syarat kelayakan kepada penerima.

“Seperti tahun lepas kita ada 11A hingga 6A, jadi tahun ini kita akan tengok macam mana dan kita akan bagi hadiah,” katanya.