IPOH - Perak mengaktifkan pelan mitigasi bagi menghadapi kesan musim kemarau susulan trend penurunan paras air empangan-empangan utama di negeri ini yang dilaporkan berterusan sejak Januari lalu.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, aras takungan semasa Empangan Bukit Merah berada pada 6.965 meter dengan jumlah simpanan air sebanyak 18.6958 juta meter padu, iaitu kira-kira 34 peratus daripada kapasiti keseluruhan.
Menurutnya, paras air di Empangan Temenggor pula ketika ini berada pada 239.07 meter, iaitu menghampiri paras kritikal operasi selamat empangan pada 238 meter.
"Keadaan itu menunjukkan hanya kira-kira satu meter ‘buffer’ sebelum mencapai tahap bahaya yang memerlukan tindakan kecemasan.
“Paras semasa ini masih memberi ruang fleksibiliti, tetapi pemantauan berterusan perlu dilakukan. Jika penurunan melebihi had tertentu, kita akan segera melaksanakan langkah tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Padang Taman Lapangan Jaya di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ir Dr Asnor Muizan Ishak; Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim dan Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Mohd Toha Abdul Manaf.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, situasi itu memberi kesan kepada tiga sektor utama iaitu bekalan air domestik, penjanaan tenaga serta pertanian yang bergantung kepada sumber air dari Sungai Perak.
Katanya, pemantauan rapi sedang dilakukan oleh agensi berkaitan termasuk TNB, JPS dan LAP bagi memastikan pengagihan air dapat dilaksanakan secara seimbang.
“Walaupun berlaku pengurangan taburan hujan, keadaan masih dalam kawalan dan kita dapat memantau serta mengenal pasti gangguan yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.
“Pengurusan air melibatkan pelepasan dari Empangan Temenggor hingga ke Kenering, Bersia dan Chenderoh diselaraskan antara agensi supaya keperluan pengguna dapat dipenuhi secara adil,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal menangguhkan jadual penanaman padi di kawasan Seberang Perak dan Kerian selama kira-kira dua minggu bagi mengurangkan penggunaan air.
Ujarnya, keputusan itu dipersetujui oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) selepas mengambil kira keadaan semasa sumber air.
“Penangguhan ini penting bagi memastikan penggunaan air dapat diurus dengan lebih efisien sementara menunggu peningkatan taburan hujan.
“Sekiranya keadaan berterusan, kita akan mempertimbangkan langkah tambahan termasuk penggunaan pam bergerak bagi menyalurkan air ke kawasan pertanian yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan pelan tindakan berperingkat termasuk penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas sekiranya keadaan bertambah buruk.
Selain itu, operasi pembenihan awan juga akan dipertimbangkan sebagai langkah terakhir dengan tumpuan di kawasan Empangan Temenggor.
“Operasi ini hanya akan dilaksanakan sekiranya langkah awal tidak berkesan, dengan cadangan pelaksanaan antara 6 hingga 9 April melalui kerjasama agensi berkaitan.
“Kita berharap dalam tempoh terdekat ini akan berlaku hujan bagi membantu menstabilkan paras air empangan,” katanya.
