MAKKAH – Seorang lagi jemaah haji wanita Malaysia bagi Musim Haji 1447H/2026M meninggal dunia di sini pada Ahad akibat serangan jantung, menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah haji Malaysia setakat ini meningkat kepada enam kes.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham yang berusia 63 tahun berasal dari Setiu, Terengganu dan menunaikan ibadah haji bersama suaminya.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham merupakan jemaah daripada kumpulan KT19 dan menginap di Hotel Abraj Al-Janadriyah.
“Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital King Faisal pada jam 5.53 pagi akibat serangan jantung,” menurut kenyataan tersebut.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat Asar sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di sini.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.




