
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) telah diarahkan untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden melibatkan 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya amat bersimpati dan mengambil maklum kes berkenaan.
Menurut beliau, JPM melalui TH saban tahun sentiasa memberi peringatan agar umat Islam negara ini berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan kepada semua mangsa yang terlibat di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat,” katanya.

Mohd Na’im menyatakan demikian bagi mengulas insiden melibatkan 300 bakal jemaah haji tempatan, yang terpedaya dengan pakej murah ditawarkan sebuah agensi pelancongan.
Mereka dilaporkan masih belum menerima gelang haji masing-masing, malah diingatkan oleh pihak agensi agar tidak meninggalkan bilik hotel kerana dikhuatiri ditahan pihak berkuasa.
Kesemua jemaah terbabit difahamkan berlepas ke Makkah dengan menggunakan visa pelancong.
Mohd Na’im memberi ingatan, adalah satu kesalahan untuk mana-mana individu atau agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH.
“Mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya.
Tegas beliau, TH telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.
“Umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja,” katanya. - Getaran, 11 Mei 2024

