
PETALING JAYA – Sekumpulan jemaah umrah warga Indonesia didakwa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 selama lebih 24 jam selepas dikatakan masih belum menerima tiket penerbangan pulang ke Jakarta, Indonesia.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna, @_julizzz789 yang memohon bantuan orang ramai, khususnya rakyat Indonesia supaya menyebarkan perkara berkenaan sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa negara itu.
Katanya, jemaah terlibat mendakwa syarikat agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah mereka tidak membeli tiket untuk pulang ke Jakarta selain menjanjikan hanya perlu transit di KLIA 1 selama dua jam.
Menurutnya, kumpulan jemaah terbabit sudah berdepan pelbagai masalah sejak berlepas menunaikan umrah pada 5 Julai lalu sehingga perjalanan mereka dikatakan melebihi tiga minggu berbanding jadual asal.
“Mereka semua sekarang berada di KLIA 1 dari semalam lepas pulang umrah. Masa pulang tidak ada tiket dan jemaah tambah duit kepada ejen lagi sebanyak 100 juta rupiah. Tapi ejen beli tiket pulang turun di Malaysia.
“Dia (ejen) maklum hanya transit dua jam tapi tak ada tiketnya. Sampai sekarang ini,” dakwanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat dan ejen pelancongan terbabit supaya segera membeli tiket penerbangan secara terus (on the spot) bagi membolehkan semua jemaah pulang ke Indonesia tanpa berlengah lagi.
Hantaran berkenaan turut mengundang perhatian ramai pengguna media sosial yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib jemaah terbabit, selain menggesa pihak berkuasa Indonesia menyiasat dakwaan tersebut.
“Kesian, memang kes-kes tipu ini banyak negara terlibat, selalu baca nasib rakyat kita kena tipu pergi haji, umrah. Kali ini nasib negara jiran pula. Moga pihak Kedutaan Indonesia main peranan sewajarnya,” kata Hashimah.
Dalam pada itu, ramai turut mempersoalkan mengapa jemaah membuat bayaran tambahan dan tidak mendesak untuk penerbangan terus ke Indonesia.
“Kasihan orang tua yang baru selesai menunaikan umrah, sepatutnya mereka dapat pulang dengan tenang, bukannya terkandas di lapangan terbang. Patut bila bagi duit tambahan, tiket perlu dah ada, bukan percaya transit sana sini,” tulis seorang pengguna.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada ejen pelancongan yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan mahupun pihak berkuasa mengenai insiden itu. – KOSMO! ONLINE
The post Jemaah umrah terkandas di KLIA sejak semalam tunggu tiket balik Jakarta appeared first on Kosmo Digital.



