Jenama Gombak-Hulu Langat Geopark promosi Selangor ke peringkat antarabangsa

17 Aug 2022 • 9:49 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

AMPANG, 17 OGOS: Kerajaan Negeri berharap pengiktirafan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan mampu melonjakkan nama Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark ke peringkat antarabangsa.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata penjenamaan sebagai geopark dalam kawasan pelancongan dapat memberi nilai tambah yang cukup tinggi dalam kalangan pelancong.

“Penggemar tarikan sedemikian cenderung tinggal lebih lama dan berulang kali khususnya pelancong daripada Eropah, Asia Barat, Australia dan Amerika Syarikat.

“Justeru, dari aspek pelancongan, status Tapak Geopark Kebangsan dapat melonjakkan kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark dan Selangor ke peringkat global,” katanya ketika merasmikan sesi penilaian kebangsaan GHL Geopark di Grand Barakah Hotel di sini, semalam.

GHL Geopark kini sedang menjalani proses penilaian selama empat hari oleh Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan bermula kelmarin.

Menurut Loy Sian, penilaian sehingga 18 Ogos itu melibatkan 13 stesen di daerah Gombak dan Hulu Langat.

“Kita berharap sesi penilaian ini akan mengiktiraf usaha pemeliharaan warisan geologi dan alam semula jadi di Gombak-Hulu Langat sekali gus menjadikan ia lokasi Geopark Kebangsaan.

“Selepas penilaian kebangsaan ini berjaya, kita akan membuat persediaan rapi bagi sesi penilaian ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang akan dilaksanakan menjelang 2025,” katanya.

Pada November 2020 lalu, Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat sebagai usaha memperoleh pengiktirafan Tapak Geopark Kebangsaan.

Jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat geopark, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk menjalinkan kerjasama.