
PUTRAJAYA - Jenazah bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini hari ini.
Pengebumian Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 100 tahun itu berlangsung selepas solat jenazah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, petang tadi.
Lebih 2,000 jemaah hadir untuk menunaikan solat jenazah yang diadakan sebanyak dua kali, masing-masing dipimpin Ustaz Muhammad Danial Hussan dan wakil keluarga, Ustaz Basyir.
Sesuai status, Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, sebagai mengenang segala jasa dan sumbangan beliau.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 9.20 pagi tadi.
Berita menyedihkan itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Terdahulu, kediaman keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines Residence, Seri Kembangan, tidak putus-putus dikunjungi kenamaan, ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai yang hadir menziarahi serta menyampaikan penghormatan terakhir.
Antara yang hadir ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Turut menziarahi keluarga Allahyarham ialah tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga, manakala Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan menzahirkan ucapan takziah.
Pemergian Dr Siti Hasmah mendapat perhatian dan ucapan takziah daripada pemimpin negara serta orang ramai yang mengenang sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
Dilahirkan di Klang, Selangor, pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine, Singapura, dan menamatkan pengajian pada 1955.
Beliau kemudiannya memulakan khidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan dan antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan pada ketika penyertaan golongan terbabit dalam profesion itu masih rendah.
Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, beliau turut berkhidmat kepada masyarakat di kawasan luar bandar.
Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga dengan Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956 dan pasangan itu dikurniakan tujuh anak.
Walaupun lebih dikenali sebagai isteri kepada Tun Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah mempunyai peranan dan sumbangan tersendiri dalam kehidupan awam negara, khususnya dalam isu berkaitan wanita, kanak-kanak, kesihatan dan kebajikan sosial.
Beliau terus aktif dalam pelbagai usaha kemasyarakatan ketika Tun Dr Mahathir menerajui negara sebagai Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.
Antara perkara yang diperjuangkan beliau termasuk perancangan keluarga, pencegahan penyalahgunaan dadah serta kebajikan wanita dan kanak-kanak.
Istiadat pengebumian hari ini diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat, dengan lapan pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil bahagian.
Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara ketika ahli keluarga, pemimpin dan orang ramai berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Selepas jenazah disemadikan, Jalur Gemilang diserahkan kepada keluarga oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood.
Bacaan talkin kemudiannya disempurnakan Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Dr Siti Hasmah, yang mengabdikan sebahagian besar kehidupannya kepada bidang perubatan dan khidmat masyarakat, meninggalkan legasi tersendiri dalam sejarah negara dan pemergiannya tidak mungkin berganti.
Al-Fatihah. - Getaran 28 September 2026


![[VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.28.45-PM-1024x650.jpeg)



