Jenazah Rohana Jalil disembahyangkan di Masjid Al-Falah

21 Jun 2023 • 11:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kila (tengah) diapit oleh Tya dan Izara ketika solat jenazah Rohana Jalil di Masjid Al-Falah, USJ9, di sini

SUBANG JAYA - Suasana pilu menyelubungi Masjid Al-Falah, USJ9, di sini apabila jenazah Allahyarham Rohana Jalil tiba sekitar jam 10.40 pagi.

Keluarga Allahyarham dan rakan terdekat turut mengiringi jenazah yang akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya selepas Zuhur.

Anak Allahyarham, Syakila Nisha atau Kilafairy, 31, memohon orang ramai mendoakan arwah ibunya.

“Mohon doakan arwah mama,” ujarnya ringkas.

Antara rakan artis yang turut mengiringi antaranya ialah Azizul Khamis, Izara Aishah, Tya Arifin dan Azian Mazwan Safuan.

Terdahulu, Allahyarham Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun 11.33 malam tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak April lalu akibat kebocoran usus.