Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

24 Jul 2023 • 12:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Orang ramai menyertai solat jenazah Allahyarham Salahuddin yang diimamkan oleh Abu Bakar Shaikh Abdullah.

ALOR SETAR - Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayob selamat disolatkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, di sini pada jam 12.22 tengah malam pada Isnin.

Lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan oleh Abu Bakar Shaikh Abdullah.

Sebelum itu, van jenazah membawa Allahyarham Ahli Parlimen Pulau itu dari Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, tiba di pekarangan masjid pada jam 12.15 tengah malam.

Selesai solat, van membawa jenazah Allahyarham kemudiannya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan jenazah dijangka diterbangkan ke Johor kira-kira jam 1 pagi pada Isnin.

Salahuddin Ayub, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9.23 malam ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.

Berita kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

Sebelum itu, Allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB.

ARTIKEL BERKAITAN: