Jenazah Shaharul Amir dikebumikan mengikut istiadat TLDM

20 Aug 2023 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Istiadat mengusung jenazah Shaharul Amir dijalankan mengikut istiadat mengusung jenazah oleh tujuh pegawai TLDM.

image is not available
Anak bongsu Allahyarham, Iyliaa Najwa, 12 (kanan) dan anak ketiganya, Ismahani Dhaniyah, 16, (tiga dari kanan) melihat kubur ayah mereka selepas majlis pengebumian selesai dijalankan di Taman Persemadian Islam Seri Manjung pada Ahad.

LUMUT - Jenazah Shaharul Amir Omar, 49, salah seorang penumpang yang terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu selamat dikebumikan di Taman Persemadian Islam Seri Manjung di sini pada Ahad.

Jenazah Allahyarham yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba di pekarangan Masjid Jami'e Al-Ikhwan, Desa Manjung Raya di sini sekitar jam 2.38 petang dan selamat dikebumikan pada jam 3.41 petang selepas selesai disolatkan.

Lebih 300 orang termasuk anggota keluarga dan pegawai polis serta TLDM menghadiri pengebumian dan jenazah diusung mengikut istiadat TLDM.

Suasana sedih menyelubungi di tanah perkuburan sebaik talkin dibacakan Pegawai Agama Markas Pengkalan Lumut, Mejar Azlan Abdullah@Omar.

Ensign TLDM kemudiannya diserahkan kepada adik Allahyarham, Russakinar Omar, 41 simbolik kepada penghargaan dan pengorbanan Allahyarham ketika khidmat dalam TLDM.

**media[2314392]**

Hadir sama, Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail; Panglima Pasukan Khas Laut (PASKAL), Laksamana Pertama Datuk Mohd Redzuan Talib serta Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.

Shaharul Amir disahkan terlibat dalam nahas yang turut meragut sembilan nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Allahyarham meninggal seorang isteri, Suhaila Akasha, 46 dan empat anak berusia 19 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), 17,15, dan 12 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: