Nahas Elmina: Panggilan saudara dari Terengganu rungkai kerisauan keluarga

20 Aug 2023 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamed Muaidi - Foto Bernama

image is not available
Anak mangsa nahas pesawat terhempas, Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz, Mifzal Mohamad, 8 (dua dari kanan) menyiram air pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang hari ini. - Foto Bernama

KAJANG - "Pakcik tahu ke Naim kemalangan?” satu pertanyaan yang menyentap emosi seorang bapa yang dilanda resah selepas berita nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam tersebar menerusi media.

Mohamed Muaidi Idris, 71, berkata, panggilan daripada saudaranya di Terengganu itu secara tidak langsung telah mengesahkan khabar angin yang didengarinya mengatakan anaknya, Mohd Naim Fawwaz antara mangsa dalam nahas berkenaan.

"Saudara saya ini duduk di Kuala Terengganu. Dia dapat berita itu daripada anaknya, seorang juruterbang yang berada di Korea Selatan.

"Dia telefon tanya...dah tahu ke cerita Naim kemalangan. Bila dia tanya macam tu, saya dah rasa lain sebab Naim juga seorang juruterbang," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Mohd Naim Fawwaz di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di sini hari ini.

**media[2314543]**

Pesara kerajaan yang menetap di Taman Maju Rapat, Ipoh, Perak itu berkata, berikutan soalan yang menjentik naluri kebapaannya, dia bergegas ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh bagi mendapatkan maklumat lanjut kira-kira jam 3 petang sebelum diminta ke Balai Polis Kampung Rapat untuk sebarang pertanyaan berkaitan insiden itu.

"Pihak polis cuba membantu dengan menghubungi Lapangan Terbang Subang tetapi mereka juga tidak dapat mengesahkan status Mohd Naim," katanya. Beikutan itu, dengan ditemani anak perempuannya, mereka bertolak ke Subang selepas Maghrib dan sejurus tiba di lokasi kejadian mereka diminta untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

Mohamed Muaidi berkata di IPD Klang, dia diberikan maklumat lengkap berhubung nahas itu sebelum diminta ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pengecaman mayat.

"Selepas beberapa proses akhirnya barulah berita kematian anak bongsu daripada tiga beradik ini disahkan," katanya yang menahan sebak.

Menurut Mohamed Muaidi, kali terakhir dia berjumpa dengan Mohd Naim ialah pada Aidiladha ketika anaknya pulang berhari raya dan selepas itu hanya berhubung melalui telefon berikutan tugasan anaknya yang agak sibuk.

"Naim seorang anak yang komited dalam bekerja tetapi rajin balik berjumpa kami dan satu yang dia tidak akan lupa buat adalah bawa kami makan di luar...itu rutin wajib setiap kali dia balik Ipoh," katanya.

Terdahulu, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan ketika van yang membawa jenazah pembantu juruterbang Mohd Naim Fawwaz tiba kira-kira jam 1.20 petang dan hujan lebat tidak menghalang ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja untuk terus menunggu bagi memberikan penghormatan terakhir.

Dalam nahas kira-kira jam 2.50 petang Khami lepas, 10 lelaki termasuk Mohd Naim Fawwaz, 35, disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas dua minit sebelum mendarat. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: