Jenazah Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara

21 Feb 2024 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
JenazahTaib Mahmud disolatkan di Masjid Negara sebelum dibawa ke Kuching, Sarawak untuk dikebumikan, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara pada jam 10.24 pagi.

Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni itu, disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara untuk dimandikan pada jam 9.11 pagi, selepas selesai urusan di hospital swasta, sebelum dijangka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada jam 1 tengah hari.

Jenazah Allahyarham turut diiringi isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved