
KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan beliau sebagai pemimpin, ramai yang tidak mengetahui bahawa Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud (gambar) juga adalah seorang yang pemurah dan prihatin terhadap nasib rakyat, demikian menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Berkongsi sifat Allahyarham yang tidak diketahui ramai, Abdul Taib katanya bukan sahaja dianggap seorang yang tegas tetapi juga seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Sebagai contoh, saya tidak pernah meminta apa- apa (bantuan) daripada Tun (Abdul Taib) tetapi hati saya sangat tersentuh kerana pada tahun terakhir beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau ada bertanyakan kepada saya jika ada perkara-perkara yang boleh dibantu di kawasan (Kapit).
“Saya kemukakan (permohonan), kemudian beliau meluluskan permohonan saya untuk mendapatkan sebidang tanah untuk dibangunkan. Jadi itulah maksud saya mengenai sifat sebenar Allahyarham. Beliau tidak lupa mereka yang berada di sekelilingnya, ” katanya pada Program Reaksi terbitan Bernama Radio hari ini.
Sebagai ‘orang lama’ dalam politik, Nanta yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya selama tujuh tahun berkata Allahyarham juga banyak mendidik wakil rakyat seperti beliau yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) itu juga pernah diberikan kepercayaan untuk menerajui beberapa jawatan penting dalam sektor swasta termasuk menyertai Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Saya masih ingat Tun (Abdul Taib) pernah berkata kita harus pandai bersyukur dan apabila diberi peluang, kita harus menggunakan peluang itu sebaiknya untuk menjalankan tanggungjawab yang diberi.
“Itu nasihat beliau yang saya tidak boleh lupa, walaupun nampak simple tetapi sangat relevan dan penting untuk semua wakil rakyat,” katanya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi hari ini.
Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata Allahyarham akan diingati sebagai pemimpin yang memberikan contoh terbaik dalam mengekalkan perpaduan selain merintis laluan untuk golongan wanita mempunyai suara dalam bidang politik.
“Semasa menjadi Ketua Menteri, sayap wanita PBB telah diberi peluang buat pertama kali untuk bertanding dalam pilihan raya kerana menegaskan wanita perlu menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan di peringkat negeri dan negara.
“Saya adalah antara mereka (wanita) yang dilatih oleh beliau, sebab itu kami amat bersedih dengan pemergian Allahyarham,” kata Naib Ketua Wanita PBB itu yang memulakan karier politik pada 2008 sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong dan kemudiannya Ahli Parlimen Santubong sejak 2022.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam hantaran di Facebook mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2013-2018 yang kini Pengerusi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula berkata Allahyarham adalah pemimpin ulung Sarawak yang bukan sahaja sentiasa membuka peluang untuk wanita menceburi diri dalam politik tetapi mendidik sendiri pemimpin wanita terlibat.
“Beliau pernah berkata mahukan kualiti kepemimpinan wanita seperti Tan Sri Rafizah Aziz (bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri). Ketika itu, Tan Sri adalah seorang pemimpin wanita yang sangat disegani dan apabila Allahyarham menetapkan taraf begitu, memang nampak beliau serius mahukan pemimpin wanita yang bukan setakat berjaya tetapi bersikap matang,” katanya yang juga Timbalan Ketua Wanita PBB.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal dalam hantaran di Facebook meluahkan rasa terkesan dengan pemergian Abdul Taib yang merupakan ‘Bapa Pembangunan Moden’ Sarawak.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Sarawak dan negara, dedikasi yang tidak berbelah bahagi dan sumbangan besar beliau kepada rakyat Sarawak akan sentiasa dikenang dan dihargai. Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, rakan-rakan rakyat Sarawak dan semua yang menghargai legasi beliau yang luar biasa.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. #Tribute #Legacy #Sarawak #Takziah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan kemajuan dan politik pembangunan yang diilhamkan oleh Allahyarham ketika menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun adalah perkembangan yang sangat penting dan telah meletakkan Sarawak di mata dunia. -Bernama
