
KUALA LUMPUR – Jenazah tiga beranak yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi akan dikebumikan di Kampar, Perak malam ini.
Van membawa jenazah Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, bergerak dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 5.45 petang.
Difahamkan, ketiga-tiga jenazah terlebih dahulu dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur bagi urusan mengkafan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Kampar, Perak untuk dikebumikan.
Terdahulu, identiti ketiga-tiga mangsa disahkan selepas waris hadir ke Institut Perubatan Forensik Negara, HKL hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, empat sekeluarga berkenaan dipercayai sedang berjalan kaki sebelum dirempuh sebuah lori JIM tanpa muatan.
Kemalangan berlaku ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post Jenazah tiga beranak nahas lori imigresen dikebumikan malam ini appeared first on Kosmo Digital.






