Nahas lori imigresen: Lebih 300 orang hadir pengebumian tiga beranak

19 Aug 2026 • 11:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nahas lori imigresen: Lebih 300 orang hadir pengebumian tiga beranak

KAMPAR – Tiga beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah lori milik Jabatan Imigresen (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu kubur.

Jenazah Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu pada pukul 11 malam.

Bacaan talkin dan doa untuk jenazah dipimpin Imam Masjid Jamek Kampung Air Hitam Labu, Yusaini Ariffin.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu yang dibawa menaiki van berasingan tiba di pekarangan tanah perkuburan pada pukul 10.30 malam.

Sebelum itu, jenazah ketiga-tiga mangsa dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 8.20 malam.

Proses pengebumian berjalan lancar dengan kehadiran lebih 300 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pesara tentera, Shaik Mohd. Firdaus, 53, yang sedang berjalan kaki maut bersama dua anaknya, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni selepas dirempuh lori JIM dalam kemalangan turut membabitkan dua kenderaan lain.

Isteri Shaik Mohd. Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam nahas itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, lori tanpa penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

Lori berkenaan dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan. – KOSMO! ONLINE

The post Nahas lori imigresen: Lebih 300 orang hadir pengebumian tiga beranak appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved