Jenazah Tun Siti Hasmah selamat disemadi di Pusara Negara

28 Sep 2026 • 6:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jenazah Tun Siti Hasmah selamat disemadi di Pusara Negara

PUTRAJAYA – Jenazah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara dekat Presint 20 di sini kira-kira pukul 6.20 petang tadi.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dikebumikan berhampiran pusara isteri bekas Perdana Menteri, Tun Endon Mahmood.

Istiadat pengebumian itu diketuai Kapten Ahmad Saufi Md. Isa dari Markas Tentera Darat selain disertai lapan pegawai daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Image from: Jenazah Tun Siti Hasmah selamat disemadi di Pusara Negara
Jenazah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dibawa untuk dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya hari ini. Foto AMIR KHALID

Upacara bacaan talkin disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Ribuan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Siti Hasmah sejak pukul 2.00 petang.

Yang turut berkenan hadir kerabat diraja Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ditemani Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafidzatullah pada pukul 4.45 petang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham selain Menteri-Menteri Kabinet.

Istiadat pengebumian itu disempurnakan selepas jenazah dibawa ke Pusara Negara usai solat jenazah dekat Masjid As-Syarif di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Image from: Jenazah Tun Siti Hasmah selamat disemadi di Pusara Negara
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah yang dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya hari ini. Foto AMIR KHALID

Turut menyaksikan istiadat pengebumian itu ialah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibawa dengan menggunakan kerusi roda.

Turut kelihatan ialah cahaya mata kepada pasangan tokoh negara itu termasuk Datuk Seri Marina Mahathir, Tan Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Untuk rekod, Tun Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Dr. Siti Hasmah mengikuti pengajian di King Edward VII College of Medicine dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi itulah beliau bertemu Tun Mahathir sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956 dan memiliki tujuh cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

The post Jenazah Tun Siti Hasmah selamat disemadi di Pusara Negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved