
KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selamat dikebumikan semula di lokasi sama di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang jam 1.15 pagi tadi.
Urusan mengembalikan semula jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar ke pusara asalnya hanya mengambil masa setengah jam.
Prosedur bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE) semalam berlangsung selama lapan jam bermula kira-kira jam 11 pagi dan selesai pada jam 7.30 malam.
Selepas prosedur bedah siasat selesai, kenderaan yang membawa jenazah Zara meninggalkan HQE pada jam 9.20 malam dan tiba di sini jam 12.41 tengah malam.
Cuaca hujan ternyata tidak menghalang orang ramai termasuk keluarga dan kenalan Zara Qairina menunggu di sekitar kawasan perkuburan sehingga proses pengebumian selesai, lapor BH.
Kelmarin, media melaporkan penggalian semula kubur Zara mengambil masa lebih satu jam bermula jam 6.04 petang dan selesai pada jam 7.31 malam.
Sebelum ini media melaporkan Zara didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Zara disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. - 11 Ogos, 2025
The post Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula di pusara asalnya appeared first on Scoop.



