amree26/06/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Jun — Jentayu Sustainables Berhad berjaya memperoleh suntikan modal baharu sebanyak RM10.8 juta dalam usaha mempercepatkan pembangunan projek hidro utamanya di Sabah.
Dana diraih menerusi penerbitan saham keutamaan boleh tebus terkumpul (RPS) oleh anak syarikatnya, Oriole Hydro Padas Sdn Bhd, kepada syarikat milik Yayasan Sabah, Inno Hydropower Padas Sdn Bhd.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebanyak 10.8 juta RPS diterbitkan pada harga RM1 sesaham, sekali gus menjadikan nilai langganan keseluruhan berjumlah RM10.8 juta.
"Hasil terbitan RPS ini akan digunakan bagi membiayai sumbangan ekuiti untuk pembangunan sebuah loji hidroelektrik aliran sungai yang berkapasiti 162 megawatt (MW) di Sabah," tambahnya lagi.
Projek berkenaan, yang dikenali sebagai Project Oriole, merupakan kerja-kerja hidro utama kumpulan itu dan dibangunkan menerusi Oriole Hydro, syarikat usaha sama (JV) dimiliki 70% oleh Jentayu.
Sementara baki 30% lagi pegangan dalam Oriole Hydro itu ujar kumpulan tersebut, dimiliki oleh Sabah Electricity Sdn Bhd yang menguasai sebanyak 20% manakala Yayasan Sabah memegang 10% ekuiti.

Di samping itu, langganan penerbitan saham tersebut ujar Jentayu, dimeterai secara rasmi menerusi perjanjian yang ditandatangani antara Oriole Hydro dan Inno Hydropower.
RPS yang diterbitkan menawarkan dividen tahunan 16% daripada jumlah langganan, manakala sebarang dividen belum dibayar akan dikumpulkan tanpa faedah selagi instrumen tersebut masih belum ditebus.
Tempoh matang RPS itu adalah hingga tamat perjanjian pembelian tenaga (PPA) atau 40 tahun selepas tarikh operasi komersial projek, yang mana lebih lewat, dengan penebusan tertakluk kepada pilihan.
Terdahulu, Jentayu pernah memaklumkan tarikh operasi komersial Project Oriole itu dilanjutkan kepada 30 April 2030 berbanding sasaran asal ditetapkan menjelang penghujung Disember 2029.
Pada penutupan dagangan 25 Jun 2026, saham kumpulan itu susut 0.5 sen atau 1.92% kepada 25.5 sen sesaham, sekali gus memberikan syarikat nilai pasaran sebanyak RM138.84 juta. - DagangNews.com






