ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang jentera parti bagi calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan maut dalam nahas jalan raya di Jalan Pondok Batang Dalam dekat Jasin pada Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali J Samivel, 62, yang memandu sebuah kereta terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori bermuatan buah-buahan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superitenden Lee Robert berkata, maklumat nahas itu diterima jam 12.45 tengah hari.
**media[3706786]**
"Pegawai Penyiasat bertugas bersama jurugambar menghala ke tempat kejadian.
"Fakta kes penuh akan menyusul," katanya ketika dihubungi di sini.
Mangsa yang juga Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Alor Gajah antara individu yang menjadi 'tulang belakang' dalam kempen bersama calon, P Denesh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Difahamkan Denesh yang menjalankan program walkabout dan ziarah di Kampung Jus Permai turut bergegas ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) merakam ucapan takziah atas pemergian mendiang dan menyifatkan satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai dan anggota parti.
JPPH turut merakam penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan mendiang sepanjang berkhidmat terutama pada kempen Pilihanraya Umum Negeri Melaka ke-16.
"Kami juga memohon semua pihak memberi masa secukupnya kepada keluarga untuk menguruskan upacara pengebumian dengan tenang.
"Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan melalui kenangan indah yang dikongsi bersama," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, wakil pimpinan tertinggi PKR, Dr Gunarajah George berada di Asahan bagi membantu keluarga dan pasukan kempen menghadapi saat-aaat sukar itu.





