Jentera GRS digesa ganda usaha bertemu rakyat

LocalPolitics
20 Oct 2025 • 3:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menggesa jentera GRS agar menggandakan usaha dengan turun padang dari rumah ke rumah untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakyat di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bulan depan.

Beliau menegaskan bahawa kemenangan tidak akan datang tanpa kerja keras, keazaman dan semangat kerjasama yang kuat di semua peringkat parti, daripada kepimpinan negeri hingga ke akar umbi.

“Jangan kita berasa selesa atau berpuas hati dengan apa yang telah dicapai setakat ini. Setiap daripada kita adalah barisan hadapan dalam perjuangan ini,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

Beliau berkata setiap kawasan, kampung dan kejiranan mesti dijadikan medan perjuangan untuk memastikan mesej serta aspirasi GRS sampai kepada setiap pengundi.

“Setiap rumah mesti dikunjungi, setiap pengundi dikenal pasti dan didekati dan setiap hati mesti disentuh,” tegasnya.

Hajiji turut mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak mudah berputus asa atau menyerah kalah, sebaliknya terus berjuang dengan semangat dan ketabahan yang tidak goyah.

“Kalau tiang patah, kita berjalan kaki; kalau kaki patah, kita bertongkat lutut; kalau lutut patah, kita bertongkat siku; kalau siku patah, kita bertongkat kuku, tetapi menyerah kalah — tidak sekali-kali!” katanya disambut tepukan gemuruh.

Beliau berkata perjuangan GRS mesti diteruskan dengan komitmen dan disiplin yang kuat bagi memastikan Sabah terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berkeupayaan.

“Kemenangan dan kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia hanya boleh dicapai melalui kerja keras, keikhlasan dan kerjasama,” katanya.

Hajiji menambah kekuatan GRS bukan sahaja terletak pada dasar dan pencapaiannya, tetapi juga pada semangat, kesetiaan dan ketahanan penyokongnya di seluruh negeri.

“Tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki, tiada lautan yang terlalu dalam untuk kita renangi. Dalam GRS, tiada istilah menyerah kalah atau tunduk kepada kekalahan,” tegasnya.

Beliau berkata pilihan raya kali ini bukan sekadar untuk mendapatkan mandat baharu tetapi untuk mempertahankan masa depan Sabah dan meneruskan kemajuan negeri di bawah kepimpinan GRS.

“Masa telah tiba untuk kita melangkah ke medan perjuangan ini dengan semangat yang menyala-nyala dan keyakinan yang tidak tergugat, demi memperjuangkan rakyat dan masa depan negeri tercinta kita,” kata Hajiji.